Sabtu, Mac 06, 2010

Pak Abu Si Pak Tani Biasa

Oleh : Ibnu Abi

Pak Abu seorang pak tani biasa. Mengerjakan sawah padi beberapa relung adalah rutin hariannya. Keringat yang mengalir adalah bukti dia bekerja untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan. Selagi tulang empat keratnya masih bertenaga, tidak pernah dia mengenal erti jemu bekerja.

Sawah Pak Abu ada di beberapa tempat. Ada di kawasan tanah liat yang subur. Ada juga di tanah liat berpasir. Bagaimanapun hasilnya, pak tani ini bersyukur dengan nikmat yang tuhan berikan padanya.

Seperti pak tani yang lain, Pak Abu juga menerima bantuan baja subsidi dan juga bekalan racun. Ringanlah juga bebannya. Tambahan pula sekarang ini semua harga barangan meningkat naik. Jarang sekali mendengar harga barang turun jika tidak ada jualan murah. Itupun hanya di bandar. Bukannya di kampung seperti kampungnya.

Mengerjakan sawah banyak mengajar Pak Abu erti kesabaran. Sabar ketika mengerjakan. Sabar juga ketika menerima ujian seperti serangan ulat dan siput. Juga sabar menerima tumbuhan yang tidak diundang seperti rumput, sambau dan menerong.

Benarlah kata orang, di kawasan tanaman padi, adatlah jika tumbuh rumput. Tapi, di kawasan rumput, mustahil tumbuhnya padi.

Masa berlalu dan padi terus menguning keemasan di tanah Pak Abu yang subur. Manakala di kawasan tanahnya yang berpasir, kuranglah sedikit hasilnya. Walaupun kurang, Pak Abu berpuas hati kerana tanahnya itu tetap memberikan hasil walaupun tidak membanggakan. Lebih baik daripada menjadi tempat ternakan tikus dan ular sekiranya langsung tidak diusahakan. Pak Abu bersyukur dengan hasil yang didapatinya pada musim itu.

Sebelum mula mengerjakan sawah musim yang berikutnya, datang pegawai pertanian memberikan khidmat nasihat dan tips-tips kepada Pak Abu. Pak Abu sendiri yakin, andainya nasihat dan tips itu diikuti sepenuhnya 100%, pasti hasilnya begitu memberangsangkan nanti.

Tetapi bagi Pak Abu ada beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan. Walaupun punca rezeki Pak Abu adalah sawahnya, Pak Abu perlu melupakan sawahnya beberapa hari ketika musim kenduri kendara. Boleh juga kalau dia tak pergi, tetapi apa pula nanti kata jiran tetangga. Apa pula kata sanak saudara. Dikatanya nanti Pak Abu mementingkan diri, Pak Abu juga yang terasa hati nanti. Lagipun, hidup bermasyarakat mestilah tolong-menolong. Pak Abu boleh menolong orang lain ketika kenduri kendara. Jadi. perlulah dia menolong. Walaupun bukan semua orang boleh menolong dia mengerjakan sawahnya.

Nasihat dari pegawai itu juga memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Berbagai-bagai jenis racun yang diperlukan itu, memerlukan duit. Rumput yang panjang perlu dipotong, juga perlukan duit. Upah itu, upah ini, pendek kata semuanya RM RM RM kata orang sekarang. Tidak guna merancang itu dan ini sekiranya tidak ada RM.

Pak Abu termenung merenung nasibnya dan memikirkan kata-kata pegawainya itu. Akhirnya Pak Abu mengeluh panjang. "Takkan ku khianati amanahku. Itu punca rezeki aku. Sawah itu sawahku. Aku yang mengerjakan. Aku yang merumput. Aku yang meracun. Aku yang digigit lintah dan pacat. Aku yang menghidu wap racun. Aku yang diselaputi lumpur di seluruh badanku. Dia rasakah seperti aku rasakan sekarang...?"


BACA SETERUSNYA...

Khamis, Oktober 08, 2009

Bila 10 menegur 1

Melihat keadaan anak buah di syarikatnya yang makin tersasar dari landasan, si No.1 berfikir-fikir bagaimana untuk membetulkan keadaan semula. Hendak 'sound direct', dikatakan tidak berhikmah pula nanti selaku bos.


Lalu 1 pun mengajak 1A, 1B dan 1C berbincang di peringkat pengurusan tentang bagaimanakah caranya untuk membetulkan semula anak buah mereka ke landasan yang sebenar seterusnya memberikan motivasi untuk menghasilkan produktiviti yang cemerlang. Tiba-tiba 1 mendapat idea. Apa salah kiranya dianjurkan program kepada staf mereka. Tak perlu buat di pejabat. Lebih elok buat di resort. Hilang juga tension mereka. Pasti minda mereka lebih terbuka selepas program itu nanti.

Lalu, setelah menyusun atur beberapa perkara termasuk lokasi dan bajet-bajet yang lain, 1 pun mengedar surat pemberitahuan kepada stafnya berkaitan perihal program MOTIVASI DIGARAP PRODUKTIVTI DIHARAP yang akan diadakan nanti. Kehadiran adalah wajib.

Keceriaan teserlah apabila masing-masing tiba lokasi program. "Bijak betul pengurusan pilih. Kalau macam ni, adakan program macam ni selalu pun takpa.", kata no2 lalu diiyakan 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9 dan 10. Masing-masing bersemangat untuk mengikuti program.

Dengan kehebatan motivator dan konsultan terpilih, program berlangsung dengan jayanya di samping disiplin baik yang ditunjukkan para staf. Banyak input-input yang diberikan. Penuh di dalam kepala staf dengan input-input yang berguna. Terasa besarnya tanggungjawab selaku staf terhadap syarikat. Staf yang senior pun, tidak terasa hebat lagi apabila memikirkan tanggungjawabnya. Menjadi budak pejabat lebih baik. Gaji kecil tidak mengapa, asalkan tanggungjawab tertunai. Tidak perlu menjawab di depan Yang Maha Berkuasa kelak.

Di akhir program, seperti di kebanyakan program, diedarkan borang Luahan Rasa dan peserta boleh meluahkan apa saja. Terkelip-kelip 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9 dan 10 memikirkan apa yang hendak tuliskan. Inilah kesempatan untuk meluahkan apa saja. Bukan selalu hendak mendapat peluang sebegini rupa. Masing-masing memuji pihak pengurusan yang menganjurkan program seperti ini.

10 juga tidak melepaskan peluang. Ditulisnya apa tidak kena pada fikirannya terhadap 1. Ditegur dalam tulisannya, 1 perlu mendidik staf seperti menarik rambut dalam tepung. Jangan nampak sombong. Kalau 1 tunjuk tegas dan garang pun, kerja kena buat. Kalau tunjuk mesra pun, kerja tetap kena buat. 10 mengatakan, 1 termasuk juga 1A, 1B dan 1C juga perlu menghadiri program ala sebegini untuk melahirkan pengurusan yang hebat. 10 menulis semula di borang Luahan Rasa itu, kata-kata seorang penceramah program itu, "BOS YANG HEBAT, MELAHIRKAN STAF YANG HEBAT. STAF YANG HEBAT, MELAHIRKAN PRODUKTIVITI YANG HEBAT".

Melihat komen sedemikian rupa, 1 berasa tidak sedap hati. Lalu dijawabnya dengan baik segala persoalan tersebut dalam ucapan penutupan program. 10 juga mendengar dengan baik segala jawapan itu. Sebenarnya, bukanlah jawapan yang 10 mahukan, tetapi perubahan.

10 tertanya-tanya sekarang, minda siapa yang tidak terbuka? Bila 1 menegur 10, 10 terima dan akur. Tapi beginilah keadaannya bila 10 menegur 1...


BACA SETERUSNYA...

Selasa, September 01, 2009

Cerita saya dan "Cerita Saya' - Menjana minda anak zaman selepas merdeka.


Mungkin sudah terlewat untuk penulis berkongsi bersama mengenai sebuah buku berjudul Cerita Saya oleh mendiang Tan Sri Lim Goh Tong kerana buku itu diterbitkan pada tahun 2003. Buku yang diterbitkan dalam tiga versi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.


Jujurnya, kisah hidup mendiang memberi kesan terhadap penulis. Kehidupannya dan juga Genting, membuat penulis kagum terhadap kekayaan dan kemewahan yang mendiang nikmati.



Namun, ramai yang tidak mengetahui riwayat hidupnya. Buku ini menceritakan bagaimana mendiang satu ketika dulu seorang yang terlalu miskin. Selepasnya ayahnya meninggal dunia, mendiang mula melangkah ke alam pekerjaan dengan menjual biji benih. Itupun modalnya dengan berhutang 2 dolar. Kemudian mendiang mula melangkah jauh dengan berhijrah ke Tanah Melayu.

Menjadi pengumpul besi buruk, berjinak perniagaan jentera, perlombongan dan di akhir kejayaannya membina Genting, adalah hasil dari prinsip hidupnya dengan tidak menoleh ke belakang. Mendiang berhabis-habisan untuk membangunkan Genting sehingga hampir muflis.

Biarpun mendapat cemuhan dan ejekan, mendiang menjadikannya sebagai satu cabaran dan akhirnya mencipta kejayaan.

Itu riwayat hidup mendiang. Bagaimana pula halnya dengan kita di dalam mencipta kejayaan? Pada masa ini, kita masih lagi dimomokkan dengan pelbagai cerita dongeng dan tahyul. Lihatlah kisah yang dipertontonkan di TV. Siang malam ada saja kisah seram sama ada kisah seram misteri ataupun kisah lucu seram. Malah, stesen-stesen TV berlumba-lumba menyiarkannya.

Jika begini keadaannya, bagaimana minda anak-anak akan bercambah. Orang lain memikirkan teknologi dan wang untuk menjana kehidupan tetapi kita masih lagi berada di dunia khayal dan tahyul. Siapa yang berani berhujah mengatakan itu cuma hiburan. Jadi, tidak mengapa disiarkan.

Jika siarannya sebulan sekali, bolehlah dianggap hiburan. Tetapi jika setiap malam, boleh mempengaruhi perkembangan mental anak-anak. Masih teringat kata-kata tutor penulis ketika penulis berstatus mahasiswa dulu, "jika hendak mengenal sesuatu bangsa, lihatlah pada filemnya". Produser-produser mungkin memikirkan keuntungan. Tetapi tayangan itu tidak mendidik anak bangsa. Jika tahyul dan seram yang menjadi pilihan, usahlah berbicara tentang sains dan teknologi. Jauh sekali mencipta kejayaan seperti Universal Studio.

Minda anak-anak perlu dihindar dari anasir seperti ini. Anak-anak mesti terus memandang ke depan dan bukannya memandang ke belakang dengan dikhayal dan ditahyulkan. Pada hemat penulis, diharamkan terus tayangan bercorak seram pun ada baiknya.

Jika ada peluang dan ruang, pengunjung bolehlah bersama-sama menghayati riwayat hidup mendiang Tan Sri. Amat molek sekiranya ada juga kisah juwatan Melayu Islam untuk dikongsi.

Penulis berhajat untuk memberi coretan yang panjang. Tetapi risau pula kalau-kalau pengunjung tidak terbaca.

Terdetik di hati penulis, itu kisah Cerita Saya oleh mendiang Tan Sri Lim Goh Tong yang menceritakan kejayaannya untuk menjadi kebanggaan anak cucunya. Bagaimana pula 'Cerita Saya' oleh penulis yang akan dibanggakan oleh anak cucu?


BACA SETERUSNYA...

Isnin, Ogos 24, 2009

Membina Butang 'BACA SETERUSNYA'

Nak paparkan cuma separuh saja entri untuk paparan umum? Pengunjung perlu klik BACA SETERUSNYA baru boleh lihat keseluruhan entri. Kelebihannya, pengunjung tidak TERPAKSA membaca keseluruhan entri baru untuk scroll melihat entri yg lepas. CARANYA? Klik la Baca Seterusnya di bawah. Hehe!

Boleh melayari dan belajar di http://binablog2.blogspot.com/2009/05/menambah-fungsi-read-more.html. Tapi kalau apa2 terjadi kat blog korang, pandai2 sendiri la nak buat macamana. Cara ini berisiko sikit sebab dia edit kat HTML.

Harap Maklum


BACA SETERUSNYA...

Jom Pi Klate!

Tarikh : 6 hingga 8 OGOS 2009
Hari : Khamis hingga Sabtu
Sampai di Kota Bharu pukul 4 pagi. Dekat pukul 5 pagi dah dapat bantal. Pastu pakat bangun awal. Masing-masing bersemangat.



Sarapan dulu apa cerita pun. Disponsor oleh Pengetua SMK Dato Ahmad Maher merangkap ayah cikgu Wan Ruhil. Alhamdulillah dapat makan free.
Pakat bersarapan dengan releks. Takdak apa nak dikejarkan. Kedai pun tak bukak lagi kalau nak serbu shopping pun. Hari ni Jumaat pulak. Tak banyak kedai yang bukak.
Menjamah bekal sarapan pagi tadi. Ni suasana sebelum ke masjid Kubang Kerian untuk Solat Jumaat.
Suasana di dalam masjid. Gambar di atas, kami baru selesai melawat anak Tn Hj Ismail di Hospital USM Kubang Kerian.
Juadah istimewa yang disediakan oleh ayahanda cikgu Wan Ruhil. Macam2 ada... Bihun ada. Buah pala ada. Kuih akok ada. Tak puas makan yang dihidang, kami masuk belukar di belakang rumah pulak melihat sendiri dusun buah-buahan.
Ahli rombongan sedang menjamu selera. Tak cukup makan di sini, siap bekalkan pula untuk kami. Baik sungguh..
Yang lelaki sedang menjamu selera di bawah kanopi, yang perempuan mengambil kesempatan naik ke rumah beramah tamah. Sempat shopping lagi kain batik sorang 3 4 helai. Kain batik Terengganu.
Bergambar kenangan di hadapan rumah cikgu Wan Ruhil.
Giliran peserta lelaki pulak. Di tengah-tengah tu la ayah cikgu Wan Ruhil. Masih gagah lagi..
Keluar daru rumah cikgu Wan Ruhil, kami menuju ke tempat pembuatan serondeng. Nak rasa serondeng Kelantan pulak. Kelihatan jalan mini tar yang sempit di hadapan. Tapi bas gagah masuk jugak. Akhirnya, tersangkut! Turun bas pulak pakat dok tengok pacat di betis. Bas terpaksa reverse beratus meter ke belakang kerana tiada ruang untuk 'U turn'.
Di kilang serondeng.
"Shopping jangan tak shopping. Jauh kita mai ni". Takkan nak beli sikit kot. Ramai nak rasa ni.
Bersantai di Pantai Sri Tujuh. Best jugak ambik angin pantai. Takdak sapa yang mandi. Kami lepak pekena ayam goreng ja habuan lapik perut.
Malam ni Wakaf Che Yeh. Syurga shopping jugak sini pun. Ada duit jenuh membeli la. Gambar di atas sewaktu kami jumpa orang jual ubat. Pakat urut sorang seround, hilang lenguh-lenguh belakang.
Ni gambar peserta perempuan dah pakat lenguh dah di Wakaf Che Yeh. Masa untuk shopping sehingga pukul 11 malam. Tapi belum pukul 11 dah pakat tunggu kat bas dah. Penat ke kak? Hehe!
Penat shopping semalam, balik tidur pagi ni dah ceria balik. Bersedia untuk shopping lagi di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.
Pakat menunggu peserta lelaki turun dari hostel dengan penuh sabar. Peserta lelaki belum mandi, yang perempuan dah turun dah. Semangat betul depa ni. Haha!
Sebelum pulang ke Kedah, sempat 'bekwah' dulu di rumah saudara cikgu Masniza. Serba tak kena. Tak pi pun tak kena. Pi pun tak berapa nak kena. Mujur cikgu-cikgu perempuan sporting dan tak protes. Sebab tak bersedia untuk makan kenduri pun. Pakat tak bawak baju kurung.
Singgah di masjid sebelum sampai Kebun Bunga. Solat jamak dulu. Pakat letih dah semua. Jangan driver pun letih jugak sudah la. Letih-letih pun, jangan lupa esok sekolah tau! Sat lagi pakat ambik MC pulak. Hehe!


BACA SETERUSNYA...

Jumaat, Ogos 21, 2009

Antara Tugas dan Tugasan

Oleh : Ibnu Abi

Hampir 5 tahun j-QAF mendarah mendaging di dalam tubuh penulis, memberikan berbagai pengalaman yang bermakna. Menjadi pendidik tidaklah semudah yang disangka. Apatah lagi memikirkan masa depan anak-anak didik. Runsing sungguh hati ini. Menarikkah teknik pengajaranku terhadap mereka? Sekiranya pengajaranku menarik sekalipun, tetapi belajarkah mereka. Kerana guru bukan saja perlu memastikan mereka mengajar, tetapi juga perlu memastikan murid belajar. Itu juga yang ditekan baru-baru oleh Tuan Pengarah Pelajaran Kedah melalui Guru Besar SK Hosba kepada kami.



Namun, tugas guru bukan sahaja di kelas. Siapa yang akan berada di padang sekolah menguruskan rumah sukan kalau bukan guru. Siapakah yang berada di dewan menguruskan Hari Anugerah Cemerlang kalau bukan guru. Siapakah yang berada di hutan menguruskan perkhemahan sekolah kalau bukan guru. Berbagai-bagai lagi tugas sampingan yang dipikul di samping tugas utama memastikan P&P berjalan lancar. Itu belum lagi tugasan di luar sekolah sama ada di bawah seliaan Pejabat Pelajaran Daerah ataupun Jabatan Pelajaran Negeri.

Berdasarkan harapan oleh pihak atasan dan kebolehan yang ada pada guru, maka khidmat guru tersebut diperlukan untuk melancarkan perjalanan sesuatu aktiviti. Penulis tertarik terhadap kebimbangan yang diutara oleh Dhuha dalam Percambahan Minda di Blog Ustaz Abdul Somad Penolong Pengarah j-QAF JPN Kedah. http://ustazabdulsomad.blogspot.com/.
Persoalannya, bolehkah guru mengatakan 'tidak mahu' terhadap tugas sampingan yang diamanahkan? Sekiranya boleh, pasti ramai yang meminta supaya tugas mereka dihadkan kepada P&P saja.

Tetapi apabila guru j-QAF memberi komitmen terhadap tugas sampingan dan dicuri, ada pula yang bimbang terhadap fenomena ini. Salahkah sekiranya dicuri? Jika salah, salah siapa hal ini terjadi? Guru j-QAF yang mengamalkan Tonggak 12 yang ke 3 iaitu Keseronokan Bekerjakah yang bersalah? Apatah lagi apabila mendapat tugasan berkepala surat PPD atau JPN. Akhirnya guru dihukum lebih suka berbangga menjadi cikgu berbanding ustaz.

Jika tepatlah keadaannya mengikut kefahaman penulis, perlulah dimaklumkan lagi kepada pihak yang berkenaan supaya guru j-QAF tidak disibukkan. Setakat ini, guru j-QAF cuma TIDAK BOLEH memegang jawatan khas seperti Guru Kaunseling dan Guru Data. Mungkin perlu dikeluarkan pekeliling diketahui apa lagi tugasan yang guru j-QAF TIDAK BOLEH lakukan. Supaya mereka tidak dicuri. Jangan salahkan sekiranya mereka hanya menurut arahan. Tetapi tegurlah sekiranya mereka sengaja cari pasal.


BACA SETERUSNYA...

Rabu, April 15, 2009

Adab Menuntut Ilmu

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com
http://www.ukhwah.com/

Tarikh: Jumaat, 26 September 2003 @ 10:25:04 Topik: Tazkirah

"Ta'alim wa Ta'alum" bermaksud "belajar dan mengajar". (Ta'alim bererti menuntut ilmu dan ta'alum pula bererti mengajarkan ilmu kepada orang lain.)Ilmu yang sebenar-benarnya ialah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah, Tidak kiralah ilmu ukhrawi seperti tauhid atau ilmu duniawi seperti sains dan matematik kerana kedua-dua jenis ini mengajar kita kewujudan dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas.Ilmu ada dua cabang:• Ilmu masail -- ilmu hukum-hakam dan perundangan (misalnya, fiqh).



• Ilmu fadhail -- ilmu mengenai fadhilat dan ganjaran.Ilmu masail perlu dipelajari dari orang-orang yang ahli dalam cabang ilmu tersebut (ustaz atau guru). Ilmu fadhail boleh dipelajari daripada membaca buku dan menghadiri majlis-majlis ta'alim Fadhail Amal.Kalau kita perhatikan, ilmu duniawi seperti Sejarah, Matematik dan Sains juga mempunyai kedua-dua komponen ini, iaitu masail dan fadhail.

Maksud kita mengadakan Majlis Ta'alim1. Menghidupkan Sunnah, iaitu amalan di Masjid Nabawi di zaman Rasulullah SAW. Di waktu itu, Masjid Nabawi hidup 24 jam sehari dengan 4 jenis amalan:• Dakwah• Ta'alim wa Ta'alum (belajar dan mengajar)• Ibadah (temasuk dzikir, solat, membaca Al-Qur'an dan sebagainya)• Khidmat2. Memasukkan nur Qu'ran dan Hadis dalam hati agar timbul keghairahan untuk beramal. (Sesiapa yang tidak mendengar ayat Al-Qur'an atau Hadis selama 3 hari berturut-turut, satu titik hitam akan muncul dalam hatinya. Apabila titik hitam ini menebal dan akhirnya menutupi hati seseorang itu, maka amatlah sukar baginya untuk menerima hidayah.)3. Untuk kita dengar berulang-ulang kali hingga timbul dalam hati kita rasa yakin akan janji-janji Allah yang dikhabarkan melalui Al-Qur'an dan Hadis Rasulullah SAW.Fadhilat Ta'alim, di antaranya ialah:1. Sesiapa yang menghidupkan Sunnah di zaman kerosakan umat akan mendapat ganjaran 100 pahala syahid.2. Menuntut ilmu adalah suatu bentuk jihad. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat ingin menuntut ilmu, para malaikat akan mengiringinya sambil menghamparkan sayap-sayap mereka, dan orang itu akan berjalan di atas sayap-sayap para malaikat. Seandainya dia mati dalam perjalanan, matinya itu adalah mati syahid.3. Syaitan benci dan takut kepada seorang yang berilmu lebih daripada 1000 orang abid, kerana tugas Syaitan ialah untuk menyesatkan manusia, tetapi seorang yang berilmu pula boleh mengembalikan mereka semula ke pangkal jalan.4. Majlis ta'alim adalah majlis dzikrullah. Majlis dzikrullah adalah majlis yang amat besar sekali di sisi Allah SWT. Di antara kelebihan majlis dzikrullah ialah:• Para malaikat akan mengerumuninya dan bertimpa-timpa hingga sampai ke Arasy. Apabila malaikat-malaikat ini kembali kepada Allah dengan laporan mereka, Allah akan menyebut nama-nama orang di majlis itu dan ibu bapa mereka dengan bangganya di dalam perhimpunan para malaikat.• Penghuni langit melihat majlis-majlis dzikrullah di bumi ini bersinar seperti kita melihat bintang-bintang yang berkilauan di langit. • Orang-orang yang berhimpun dalam majlis dzikrullah akan diampuni dosa-dosanya oleh Allah. Bukan setakat itu saja, dosa ibu bapa mereka juga akan diampunkan. • Orang yang melewati majlis sebegini tanpa niat untuk duduk dalam majlis ini pun akan diampunkan dosanya.Satu majlis dzikrullah di masjid menghapuskan 100 majlis lalai. Satu majlis dzikrullah di rumah menghapuskan 40 majlis lalai.5. Disebabkan ramainya Malaikat yang mengerumuni majlis dan rahmat yang melimpah akibat daripada kehadiran mereka, ia menjadikan majlis ta'alim sebuah majlis sakinah (ketenangan). Ketika para Sahabat ra menghadiri majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, suasana menjadi sungguh tenang hinggakan burung-burung datang dan bertenggek di atas bahu dan kepala mereka tanpa sedikit pun rasa takut.6. Dengan rahmat ini juga, Allah membersihkan dan melembutkan hati manusia di sekeliling dan memberi hidayah kepada mereka. (Sebab itulah, kita juga digalakkan untuk buat majlis ta'alim di rumah, agar ahli keluarga kita juga akan dapat hidayah, biarpun yang nampak hanya kita seorang saja yang baca kitab ta'alim, tetapi para malaikat sebenarnya ada bersama kita dan sedang mendengar apa yang kita bacakan.)Adab Ta'alim1. Berwudhu.2. Solat sunat 2 rakaat sebelum majlis (dengan harapan Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memudahkan kita untuk memahami, mengingati, mengamalkan dan menyampaikan).3. Pakaian bersih dan menutup aurat.4. Memakai wangi-wangian.5. Pandang mulut orang yang membaca ta'alim. Anggaplah hadis-hadis yang kita dengar sebagai sabdaan-sabdaan Rasulullah SAW yang datang dari mulut Baginda sendiri.6. Apabila kita membaca ta'alim, ulangilah hadis yang kita baca hingga 3 kali agar mudah dihayati oleh jemaah.7. Mendengar dengan penuh konsentrasi. Ketika para Sahabat ra duduk dalam majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, mereka tumpukan sepenuh perhatian hinggakan mereka tidak mempedulikan burung-burung yang bertenggek di atas bahu dan kepala mereka. Apabila kita menunaikan hak mendengar, Allah akan memudahkan 3 perkara:• Allah mudahkan ilmu masuk ke dalam hati kita. • Allah mudahkan kita untuk memahami apa yang kita dengar.• Allah mudahkan kita untuk bercakap tentang ilmu tadi bila diperlukan. 8. Anggaplah hadis yang kita dengar itu seolah-olah inilah kali pertama kita mendengarkannya.9. Duduk rapat-rapat (supaya syaitan tidak mencelah di antara kita dan supaya Allah satukan hati kita dan wujudkan sifat kasih sayang di antara kita). Ketika para Sahabat ra duduk dalam majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, mereka duduk rapat-rapat hinggakan daun yang gugur dari pokok tidak jatuh ke tanah, tetapi jatuh ke riba dan bahu mereka.10. Sebaik-baiknya duduk dalam posisi tahiyat awal dan kalau boleh, lutut kita bertemu dengan lutut si pembaca ta'alim. Kalau penat duduk tahiyat awal, bolehlah berubah kepada posisi tahiyat akhir. Kalau tidak mampu juga, bolehlah duduk bersila. (Cara duduk beginilah yang ditunjukkan oleh Malaikat Jibril AS ketika dia datang kepada Rasulullah SAW dan mengajukan beberapa soalan kepada Baginda, dengan disaksikan oleh para Sahabat.)11. Apabila disebut nama Allah, kita sambut dengan Allahu azza wajalla atau Allahu Jalla Jallaluhu atau Subhanallah.12. Apabila disebut nama Rasulullah SAW, hendaklah kita berselawat ke atas Baginda. (Malaikat melaknat orang yang tidak berselawat bila nama Baginda disebut).13. Bila disebut nama para Sahabat atau Sahabiah, kita sambut dengan RadhiAllahu Anhu / Anha.14. Bila disebut nama orang-orang alim (seperti tabi'en, imam-imam besar dan sebagainya), kita sambut dengan Rahmatullah Alaih.15. Bila disebut nama musuh-musuh Allah (seperti Iblis, Fir'aun, Namrud, Abu Lahab dan sebagainya), kita dibolehkan menyambut dengan Laknatullah Alaih.16. rasa gembira bila disebut tentang syurga dan takut bila disebut tentang neraka. (Kalau tak boleh, cuba paksa.)17. Jangan mengganggu perjalanan majlis (seperti berbual-bual atau bersalam-salam bila datang lewat).18. Menghadiri majlis ta'alim adalah lebih baik daripada melakukan ibadat-ibadat sunat yang dilakukan bersendirian. Seandainya kita datang ke masjid dan mendapati majlis ta'alim sedang berlangsung, kita digalakkan supaya duduk dalam majlis ta'alim dan menggantikan solat tahiyatul masjid dengan zikir "Subhanallah Walhamdulillah Wa lah Ilaha Ilallah Wallahu Akbar" 3 kali.19. Ta'azeem bil Qalbi --- Memuliakan dan membesarkan majlis di dalam hati.20. Tashdiq wa Yaqin --- Membenarkan dan meyakini (percaya) akan segala yang didengar.21. Tabligh wa Amal --- Mempunyai niat untuk menyampaikan dan mengamalkannya.Nota Tambahan• Saiyidina Umar Al-Khattab ra mendapat hidayah melalui majlis ta'alim yang dipimpin oleh Saiyidina Khabbab bin Alarat ra yang dibuat di rumah adik perempuannya.• Saiyidina Mus'ab bin Umayr ra telah diutuskan oleh Rasulullah SAW untuk berdakwah di Madinah. Sampai saja beliau di sana, beliau duduk di bawah sebatang pokok dan membuat majlis ta'alim. Dengan berkat majlis ta'alim itu, seluruh penduduk Madinah memeluk agama Islam. Peristiwa ini berlaku selepas peristiwa Baiatul Aqabah dan sebelum penghijrahan umat Islam Makkah ke Madinah.


BACA SETERUSNYA...

Maulidur Rasul

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Maulidur Rasul yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w (Sallallahu Alaihi Wasallam). Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.
Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.



Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.
Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.
Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.


BACA SETERUSNYA...

Lama Tak Berblog...Apa boleh buat

Salam untuk semua.

Lama sudah Ibnu Abi tak berblog. hilang semangat kerana masa terlalu terhad. Ibnu Abi sekarang jarang-jarang jumpa internet. Kat tempat kerja wireless problem. Kat rumah pulak kabel yang kena curi belum disambung. Dengar khabarnya takkan disambung lagi dah. Jadi, terpaksa la guna kesempatan kat mana yang ada internet. Apa boleh buat...


BACA SETERUSNYA...

Khamis, Januari 01, 2009

Mendaftar Kelahiran Putera Kedua

27 Disember 2008 (Ahad) - Pulang dari Mesyuarat Staf SK Hosba pada pukul 2.30, Ibnu Abi terus ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk pendaftaran putera kedua Ibnu Abi. Ibnu Abi dan isteri tersayang telah bersepakat untuk menamakan putera kedua ini dengan nama Muhammad Isyraf Haziq. Nama alongnya Muhammad Isyraf Hidayat.



Sampai di JPN pada pukul 3 petang dan mengambil nombor giliran, lalu dilihat Ibnu Abi terpaksa menunggu lagi 7 orang sebelum tiba giliran Ibnu Abi. Mungkin sebentar sahaja Ibnu Abi fikir untuk menunggu. Tetapi apa yang tak disangka ialah, apabila tiba giliran Ibnu Abi, dah hampir pukul 4. Ini bermakna, Ibnu Abi dah menunggu sejam lamanya untuk 7 orang. Itupun lagi 2 orang entah ke mana perginya. Jadi, mengikut kiraan sebenar Ibnu Abi cuma menunggu 5 orang sahaja sebelum giliran Ibnu Abi. Sejam diperlukan untuk proses 5 orang?

Tetapi Ibnu Abi tidak pula melihat ada staf di JPN tu yang melengah-lengahkan kerja. Mungkin prosedur demi prosedur yang memaksa keadaan menjadi sedemikian rupa. Namun, akhirnya siap juga pendaftaran kelahiran putera kedua Ibnu Abi itu.


BACA SETERUSNYA...

Member MIRC Ibnu Abi Meninggal Dunia. Al-Fatihah...

Antara percaya dengan tidak, Ibnu Abi mendapat panggilan telefon dari kawan Ibnu Abi, Abg Lee Lunas. Dia tanya samada Ibnu Abi ada dengar apa-apa cerita tak? Kemudian dia beritahu yang member MIRC Ibnu Abi, nick RoLeXx atau panggilan biasanya Yatt, telah kembali ke rahmatullah.

Bagaikan gegar gempita Ibnu Abi mendengar berita tersebut. 2 tahun lebih dah Ibnu Abi tercari-cari RoLeXx tu. Dia menukar no h/p. Sebab tu kami terputus hubungan.



Mula mencari RoLeXx tu time Ibnu Abi nak jemput RoLeXx hadir ke majlis perkahwinan Ibnu Abi pada 2 Disember 2006. Terasa ralat benar tak dapat jemput RoLeXx. Samada RoLeXx nak hadir ke kenduri Ibnu Abi ke tak tu, terpulang lah. Cuma Ibnu Abi berhajat sangat nak jemput RoLeXx.

Sejak hari tu, Ibnu Abi mula bertanyakan kepada kawan-kawan yang lain kalau-kalau mereka ada no h/p RoLeXx termasuklah Abg Lee Lunas dan Kak Sham Abex Perda. Mereka berdua selalu juga contact RoLeXx. Namun tiada siapa yang dapat membantu.

Sebab tu bila Abg Lee Lunas bagitau macam tu, Ibnu Abi terkejut sangat-sangat. Iyelah, lebih 2 tahun Ibnu Abi tercari-cari RoLeXx, tiba-tiba mendapat khabar yang RoLeXx telah meninggal. Semoga Allah mencucuri rahmat ke arwah. Al-Fatihah.


BACA SETERUSNYA...

Ibnu Abi dan 'Orang Baru'

23 Disember 2008 (Selasa) merupakan hari yang bermakna kepada Ibnu Abi dan keluarga. Ibnu Abi mendapat cahaya mata yang kedua pada pukul 7.30 malam. Seorang putera.

Isteri yang tercinta telah selamat melahirkan di Pusat Rawatan Mahsuri (PRM) di Bandar Darulaman. Alhamdulillah, semuanya lancar. Ibu dan anak sihat-sihat belaka.

Sedikit mencemaskan ketika dalam perjalanan ke PRM. Isteri berasa sakit yang amat sangat. Tambah mencemaskan kerana kereta yang dipandu Ibnu Abi terpaksa berhenti seketika untuk memberi laluan kepada keretapi. Setiap detik terlalu mencemaskan.



Sampai di PRM lebih kurang pukul 6.30 petang. Setelah mendaftarkan nama dan melalui beberapa prosedur biasa, isteri pun dimasukkan ke dalam bilik bersalin. Ibnu Abi turut bersama-sama menemankan isteri. Tepat pukul 7.30, Ibnu Abi dengan rasminya mendapat cahaya mata yang kedua.

3.2 kg. Itulah berat cahaya mata baru ini. Mukanya mirip Alongnya. Semoga dengan kehadiran putera baru ini ke dalam keluarga Ibnu Abi, akan menceriakan lagi kehidupan Ibnu Abi sekeluarga.



BACA SETERUSNYA...