Jumaat, Ogos 21, 2009

Antara Tugas dan Tugasan

Oleh : Ibnu Abi

Hampir 5 tahun j-QAF mendarah mendaging di dalam tubuh penulis, memberikan berbagai pengalaman yang bermakna. Menjadi pendidik tidaklah semudah yang disangka. Apatah lagi memikirkan masa depan anak-anak didik. Runsing sungguh hati ini. Menarikkah teknik pengajaranku terhadap mereka? Sekiranya pengajaranku menarik sekalipun, tetapi belajarkah mereka. Kerana guru bukan saja perlu memastikan mereka mengajar, tetapi juga perlu memastikan murid belajar. Itu juga yang ditekan baru-baru oleh Tuan Pengarah Pelajaran Kedah melalui Guru Besar SK Hosba kepada kami.



Namun, tugas guru bukan sahaja di kelas. Siapa yang akan berada di padang sekolah menguruskan rumah sukan kalau bukan guru. Siapakah yang berada di dewan menguruskan Hari Anugerah Cemerlang kalau bukan guru. Siapakah yang berada di hutan menguruskan perkhemahan sekolah kalau bukan guru. Berbagai-bagai lagi tugas sampingan yang dipikul di samping tugas utama memastikan P&P berjalan lancar. Itu belum lagi tugasan di luar sekolah sama ada di bawah seliaan Pejabat Pelajaran Daerah ataupun Jabatan Pelajaran Negeri.

Berdasarkan harapan oleh pihak atasan dan kebolehan yang ada pada guru, maka khidmat guru tersebut diperlukan untuk melancarkan perjalanan sesuatu aktiviti. Penulis tertarik terhadap kebimbangan yang diutara oleh Dhuha dalam Percambahan Minda di Blog Ustaz Abdul Somad Penolong Pengarah j-QAF JPN Kedah. http://ustazabdulsomad.blogspot.com/.
Persoalannya, bolehkah guru mengatakan 'tidak mahu' terhadap tugas sampingan yang diamanahkan? Sekiranya boleh, pasti ramai yang meminta supaya tugas mereka dihadkan kepada P&P saja.

Tetapi apabila guru j-QAF memberi komitmen terhadap tugas sampingan dan dicuri, ada pula yang bimbang terhadap fenomena ini. Salahkah sekiranya dicuri? Jika salah, salah siapa hal ini terjadi? Guru j-QAF yang mengamalkan Tonggak 12 yang ke 3 iaitu Keseronokan Bekerjakah yang bersalah? Apatah lagi apabila mendapat tugasan berkepala surat PPD atau JPN. Akhirnya guru dihukum lebih suka berbangga menjadi cikgu berbanding ustaz.

Jika tepatlah keadaannya mengikut kefahaman penulis, perlulah dimaklumkan lagi kepada pihak yang berkenaan supaya guru j-QAF tidak disibukkan. Setakat ini, guru j-QAF cuma TIDAK BOLEH memegang jawatan khas seperti Guru Kaunseling dan Guru Data. Mungkin perlu dikeluarkan pekeliling diketahui apa lagi tugasan yang guru j-QAF TIDAK BOLEH lakukan. Supaya mereka tidak dicuri. Jangan salahkan sekiranya mereka hanya menurut arahan. Tetapi tegurlah sekiranya mereka sengaja cari pasal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan