Khamis, Oktober 08, 2009

Bila 10 menegur 1

Melihat keadaan anak buah di syarikatnya yang makin tersasar dari landasan, si No.1 berfikir-fikir bagaimana untuk membetulkan keadaan semula. Hendak 'sound direct', dikatakan tidak berhikmah pula nanti selaku bos.


Lalu 1 pun mengajak 1A, 1B dan 1C berbincang di peringkat pengurusan tentang bagaimanakah caranya untuk membetulkan semula anak buah mereka ke landasan yang sebenar seterusnya memberikan motivasi untuk menghasilkan produktiviti yang cemerlang. Tiba-tiba 1 mendapat idea. Apa salah kiranya dianjurkan program kepada staf mereka. Tak perlu buat di pejabat. Lebih elok buat di resort. Hilang juga tension mereka. Pasti minda mereka lebih terbuka selepas program itu nanti.

Lalu, setelah menyusun atur beberapa perkara termasuk lokasi dan bajet-bajet yang lain, 1 pun mengedar surat pemberitahuan kepada stafnya berkaitan perihal program MOTIVASI DIGARAP PRODUKTIVTI DIHARAP yang akan diadakan nanti. Kehadiran adalah wajib.

Keceriaan teserlah apabila masing-masing tiba lokasi program. "Bijak betul pengurusan pilih. Kalau macam ni, adakan program macam ni selalu pun takpa.", kata no2 lalu diiyakan 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9 dan 10. Masing-masing bersemangat untuk mengikuti program.

Dengan kehebatan motivator dan konsultan terpilih, program berlangsung dengan jayanya di samping disiplin baik yang ditunjukkan para staf. Banyak input-input yang diberikan. Penuh di dalam kepala staf dengan input-input yang berguna. Terasa besarnya tanggungjawab selaku staf terhadap syarikat. Staf yang senior pun, tidak terasa hebat lagi apabila memikirkan tanggungjawabnya. Menjadi budak pejabat lebih baik. Gaji kecil tidak mengapa, asalkan tanggungjawab tertunai. Tidak perlu menjawab di depan Yang Maha Berkuasa kelak.

Di akhir program, seperti di kebanyakan program, diedarkan borang Luahan Rasa dan peserta boleh meluahkan apa saja. Terkelip-kelip 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9 dan 10 memikirkan apa yang hendak tuliskan. Inilah kesempatan untuk meluahkan apa saja. Bukan selalu hendak mendapat peluang sebegini rupa. Masing-masing memuji pihak pengurusan yang menganjurkan program seperti ini.

10 juga tidak melepaskan peluang. Ditulisnya apa tidak kena pada fikirannya terhadap 1. Ditegur dalam tulisannya, 1 perlu mendidik staf seperti menarik rambut dalam tepung. Jangan nampak sombong. Kalau 1 tunjuk tegas dan garang pun, kerja kena buat. Kalau tunjuk mesra pun, kerja tetap kena buat. 10 mengatakan, 1 termasuk juga 1A, 1B dan 1C juga perlu menghadiri program ala sebegini untuk melahirkan pengurusan yang hebat. 10 menulis semula di borang Luahan Rasa itu, kata-kata seorang penceramah program itu, "BOS YANG HEBAT, MELAHIRKAN STAF YANG HEBAT. STAF YANG HEBAT, MELAHIRKAN PRODUKTIVITI YANG HEBAT".

Melihat komen sedemikian rupa, 1 berasa tidak sedap hati. Lalu dijawabnya dengan baik segala persoalan tersebut dalam ucapan penutupan program. 10 juga mendengar dengan baik segala jawapan itu. Sebenarnya, bukanlah jawapan yang 10 mahukan, tetapi perubahan.

10 tertanya-tanya sekarang, minda siapa yang tidak terbuka? Bila 1 menegur 10, 10 terima dan akur. Tapi beginilah keadaannya bila 10 menegur 1...


BACA SETERUSNYA...