Sabtu, Mac 06, 2010

Pak Abu Si Pak Tani Biasa

Oleh : Ibnu Abi

Pak Abu seorang pak tani biasa. Mengerjakan sawah padi beberapa relung adalah rutin hariannya. Keringat yang mengalir adalah bukti dia bekerja untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan. Selagi tulang empat keratnya masih bertenaga, tidak pernah dia mengenal erti jemu bekerja.

Sawah Pak Abu ada di beberapa tempat. Ada di kawasan tanah liat yang subur. Ada juga di tanah liat berpasir. Bagaimanapun hasilnya, pak tani ini bersyukur dengan nikmat yang tuhan berikan padanya.

Seperti pak tani yang lain, Pak Abu juga menerima bantuan baja subsidi dan juga bekalan racun. Ringanlah juga bebannya. Tambahan pula sekarang ini semua harga barangan meningkat naik. Jarang sekali mendengar harga barang turun jika tidak ada jualan murah. Itupun hanya di bandar. Bukannya di kampung seperti kampungnya.

Mengerjakan sawah banyak mengajar Pak Abu erti kesabaran. Sabar ketika mengerjakan. Sabar juga ketika menerima ujian seperti serangan ulat dan siput. Juga sabar menerima tumbuhan yang tidak diundang seperti rumput, sambau dan menerong.

Benarlah kata orang, di kawasan tanaman padi, adatlah jika tumbuh rumput. Tapi, di kawasan rumput, mustahil tumbuhnya padi.

Masa berlalu dan padi terus menguning keemasan di tanah Pak Abu yang subur. Manakala di kawasan tanahnya yang berpasir, kuranglah sedikit hasilnya. Walaupun kurang, Pak Abu berpuas hati kerana tanahnya itu tetap memberikan hasil walaupun tidak membanggakan. Lebih baik daripada menjadi tempat ternakan tikus dan ular sekiranya langsung tidak diusahakan. Pak Abu bersyukur dengan hasil yang didapatinya pada musim itu.

Sebelum mula mengerjakan sawah musim yang berikutnya, datang pegawai pertanian memberikan khidmat nasihat dan tips-tips kepada Pak Abu. Pak Abu sendiri yakin, andainya nasihat dan tips itu diikuti sepenuhnya 100%, pasti hasilnya begitu memberangsangkan nanti.

Tetapi bagi Pak Abu ada beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan. Walaupun punca rezeki Pak Abu adalah sawahnya, Pak Abu perlu melupakan sawahnya beberapa hari ketika musim kenduri kendara. Boleh juga kalau dia tak pergi, tetapi apa pula nanti kata jiran tetangga. Apa pula kata sanak saudara. Dikatanya nanti Pak Abu mementingkan diri, Pak Abu juga yang terasa hati nanti. Lagipun, hidup bermasyarakat mestilah tolong-menolong. Pak Abu boleh menolong orang lain ketika kenduri kendara. Jadi. perlulah dia menolong. Walaupun bukan semua orang boleh menolong dia mengerjakan sawahnya.

Nasihat dari pegawai itu juga memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Berbagai-bagai jenis racun yang diperlukan itu, memerlukan duit. Rumput yang panjang perlu dipotong, juga perlukan duit. Upah itu, upah ini, pendek kata semuanya RM RM RM kata orang sekarang. Tidak guna merancang itu dan ini sekiranya tidak ada RM.

Pak Abu termenung merenung nasibnya dan memikirkan kata-kata pegawainya itu. Akhirnya Pak Abu mengeluh panjang. "Takkan ku khianati amanahku. Itu punca rezeki aku. Sawah itu sawahku. Aku yang mengerjakan. Aku yang merumput. Aku yang meracun. Aku yang digigit lintah dan pacat. Aku yang menghidu wap racun. Aku yang diselaputi lumpur di seluruh badanku. Dia rasakah seperti aku rasakan sekarang...?"


BACA SETERUSNYA...