Ahad, Disember 21, 2008

Penulis Perlu Tahan Terima Kritikan - Azizi Abdullah

Topik di atas Ibnu Abi terjumpa ketika melayari web HarakahDaily. Boleh la jadikan peringatan kepada Ibnu Abi yang baru hendak berkubang ke alam penulisan ini. Lebih menarik, ia adalah nasihat daripada novelis terkenal tanahair, Azizi Abdullah.

SEBERANG JAYA, 21 Dis (Hrkh) - Novelis terkenal tanahair, Azizi Abdullah memberitahu, sesiapa pun boleh menjadi penulis yang berjaya asalkan mempunyai minat dan rajin membaca untuk menghasilkan karya yag tinggi mutunya.





Mereka tidak pula semestinya mempunyai sijil atau belajar di pusat pengajian tinggi sebaliknya sekadar mahu kemajuan diri, rajin menimba ilmu baru, berkawan dengan ramai kenalan dan belajar untuk mengasah bakat daripada mereka yang berpengalaman.

Beliau ketika bercakap dalam program 'Bergebang bersama Azizi' di ruang makan Perpustakaan Negeri sempena Karnival Buku baru-baru ini menyifatkan, satu lagi faktor penting menentukan kejayaan dalam bidang penulisan ialah tahan dikritik.

"Kebanyakan penulis muda hari ini bila satu dua karya tidak disiarkan mula mereka menuduh pengarang media pilih bulu dan sebagainya. Walhal penulisan mereka sendiri tidak bergaya dengan keindahan bahasa, " ujarnya sambil menceritakan karyanya juga pernah dibakul sampahkan oleh orang atasan akhbar.

Sebagai penulis muda kebanyakan mereka senang patah semangat tanpa mahu menimba pengalaman menerusi penulis veteran dan perkara ini berlaku walaupun ada antaranya mempunyai minat yang menberpotensi dalam penulisan.

Jelas Azizi lagi, dirinya sendiri walaupun tidak berpelajaran setinggi namun kerana minat yang tinggi serta bersabar menghadapi kenyataan akhirnya beliau sudah berjaya dalam beberapa kemenangan atau anugerah dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bila karya dibakul sampahkan seseorang penulis itu harus meneliti semula karyanya semula sekaligus membaiki mana yang lemah supaya apa yang salah tidak diulangi bukan merajuk .

"Saya sendiri yang bermula menulis pada 1963 tidak langsung mendapat tempat di mana-mana media tetapi selepas tiga tahun baru ia diketengahkan tambahan lagi rencana pertamanya dalam Warta Negera berajuk 'Buruk Baik Wanita Bolasepak' mendapat reaksi yang bukan-bukan, " tegasnya yang suka dikritik kerana sifat itu baginya membina kerjaya.

Sejak kebelakangan ini katanya yang hanya berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat kepujian mata pelajaran sastera karyanya terdapat kelainan ekoran kematangan yang dilalui berbanding dulu terus menulis tanpa menetapkan plot, puncak cerita dan jalan penyelesaian.

Menerusi karyanya 'Sanggetha' dan beberapa buah lagi novel beliau sendiri mengakui membuat kajian terlebih dahulu termasuk berbelanja sehingga ke Negeri Johor untuk melihat permainan gambus secara berperinci.

"Melalui novel Sangetha saya buat kajian yang mendalam khususnya permainan gambus, tabla, budaya masyarakat India dan sebagainya, " jelas Azizi yang kini akan muncul dengan novel terbaru 'zikir rindu' awal tahun depan. - mks.

LINK ASAL




BACA SETERUSNYA...

Kerana Masa, Ibnu Abi Memblog

Assalamualaikum. Setelah mengambil masa begitu lama, Ibnu Abi akhirnya mengambil keputusan memblog. Sebarang komen dialu-alukan oleh Ibnu Abi.

Selamat melayari kepada semua pengunjung.


BACA SETERUSNYA...