Selasa, September 01, 2009

Cerita saya dan "Cerita Saya' - Menjana minda anak zaman selepas merdeka.


Mungkin sudah terlewat untuk penulis berkongsi bersama mengenai sebuah buku berjudul Cerita Saya oleh mendiang Tan Sri Lim Goh Tong kerana buku itu diterbitkan pada tahun 2003. Buku yang diterbitkan dalam tiga versi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.


Jujurnya, kisah hidup mendiang memberi kesan terhadap penulis. Kehidupannya dan juga Genting, membuat penulis kagum terhadap kekayaan dan kemewahan yang mendiang nikmati.



Namun, ramai yang tidak mengetahui riwayat hidupnya. Buku ini menceritakan bagaimana mendiang satu ketika dulu seorang yang terlalu miskin. Selepasnya ayahnya meninggal dunia, mendiang mula melangkah ke alam pekerjaan dengan menjual biji benih. Itupun modalnya dengan berhutang 2 dolar. Kemudian mendiang mula melangkah jauh dengan berhijrah ke Tanah Melayu.

Menjadi pengumpul besi buruk, berjinak perniagaan jentera, perlombongan dan di akhir kejayaannya membina Genting, adalah hasil dari prinsip hidupnya dengan tidak menoleh ke belakang. Mendiang berhabis-habisan untuk membangunkan Genting sehingga hampir muflis.

Biarpun mendapat cemuhan dan ejekan, mendiang menjadikannya sebagai satu cabaran dan akhirnya mencipta kejayaan.

Itu riwayat hidup mendiang. Bagaimana pula halnya dengan kita di dalam mencipta kejayaan? Pada masa ini, kita masih lagi dimomokkan dengan pelbagai cerita dongeng dan tahyul. Lihatlah kisah yang dipertontonkan di TV. Siang malam ada saja kisah seram sama ada kisah seram misteri ataupun kisah lucu seram. Malah, stesen-stesen TV berlumba-lumba menyiarkannya.

Jika begini keadaannya, bagaimana minda anak-anak akan bercambah. Orang lain memikirkan teknologi dan wang untuk menjana kehidupan tetapi kita masih lagi berada di dunia khayal dan tahyul. Siapa yang berani berhujah mengatakan itu cuma hiburan. Jadi, tidak mengapa disiarkan.

Jika siarannya sebulan sekali, bolehlah dianggap hiburan. Tetapi jika setiap malam, boleh mempengaruhi perkembangan mental anak-anak. Masih teringat kata-kata tutor penulis ketika penulis berstatus mahasiswa dulu, "jika hendak mengenal sesuatu bangsa, lihatlah pada filemnya". Produser-produser mungkin memikirkan keuntungan. Tetapi tayangan itu tidak mendidik anak bangsa. Jika tahyul dan seram yang menjadi pilihan, usahlah berbicara tentang sains dan teknologi. Jauh sekali mencipta kejayaan seperti Universal Studio.

Minda anak-anak perlu dihindar dari anasir seperti ini. Anak-anak mesti terus memandang ke depan dan bukannya memandang ke belakang dengan dikhayal dan ditahyulkan. Pada hemat penulis, diharamkan terus tayangan bercorak seram pun ada baiknya.

Jika ada peluang dan ruang, pengunjung bolehlah bersama-sama menghayati riwayat hidup mendiang Tan Sri. Amat molek sekiranya ada juga kisah juwatan Melayu Islam untuk dikongsi.

Penulis berhajat untuk memberi coretan yang panjang. Tetapi risau pula kalau-kalau pengunjung tidak terbaca.

Terdetik di hati penulis, itu kisah Cerita Saya oleh mendiang Tan Sri Lim Goh Tong yang menceritakan kejayaannya untuk menjadi kebanggaan anak cucunya. Bagaimana pula 'Cerita Saya' oleh penulis yang akan dibanggakan oleh anak cucu?


BACA SETERUSNYA...